SHANGHAI - CHINA. Akibat ingin meluahkan perasaan marah terhadap polis, seorang lelaki secara sengaja melanggar motosikal polis dan muat turun gambar perlanggaran di laman sosial.

Malahan, penunggang motosikal yang dikenali sebagai Tan itu menyebarkan gambar itu sambil  menulis: "Aku memang benci polis, sebab itu langgar dia."

Ketika kejadian, penunggang motosikal itu ditahan polis kerana dipercayai tidak memiliki lesen memandu.
Walaupun diarah berhenti, tetapi lelaki itu tetap degil dan cuba ingin melarikan diri.

Melihatkan keadaan itu, anggota trafik polis segera mengejarnya dengan motosikal. Selepas beberapa minit, lelaki itu akhirnya berjaya diarahkan memberhentikan motosikalnya.

Tetapi tanpa diduga, lelaki itu tiba-tiba memecut motosikalnya dan melanggar motosikal polis sehingga menyebabkan anggota polis terbabit rebah di tepi jalan raya.

Bagaimanapun, suspek akhirnya berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.

Apa yang lebih mengejutkan, lelaki itu didapati menyebarkan gambar perlanggaran itu ke dalam laman sosial sambil mengeluarkan kata-kata yang disifatkan cukup angkuh.